Dana bagi Penyelenggaraan Masjid Ar-Raudhah

Sidang jemaah Masjid Ar-Raudhah yang dirahmati sekalian,

Diantara kerja dan amalan yang di tuntut oleh Islam yang dianggap sebagai amalan-amalan soleh serta besar pahalanya disisi Allah S.W.T ialah mengimarahkan masjid atau rumah Allah.

Yang dimaksudkan dengan mengimarahkan masjid atau rumah Allah ini termasuklah orang yang mewakafkan tanah-tanah untuk masjid atau orang-orang yang mendermakan wang ringgit untuk membeli perkakasan-perkakasan bagi tujuan pembangunan masjid atau orang-orang yang menghadiahkan sesuatu barangan untuk kegunaan masjid atau orang-orang yang bekerja keras mengumpulkan wang dan memungutnya dari penderma-penderma untuk maslahah dan kepentingan masjid segala tugas dan amalan yang tersebut itu dikira sebagai ibadah kepada Allah S.W.T asalkan ia dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T .

Menurut ajaran Islam, sesuatu amalan atau kerja yang dilakukan oleh seseorang samaada diterima atau ditolak oleh Allah, adalah bergantung kepada apa yang diniatkan. Hal ini jelas tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W. Maksudnya :[Sesungguhnya segala amal yang di lakukan itu berdasarkan kepada niat dan sesungguhnya sesuatu amalan itu akan diterima oleh Allah S.W.T. berdasarkan kepada apa yang diniatkan].

Saudara Muslimin,

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa tanggungjawab untuk membina, menyelenggara dan mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab kita bersama selaku umat Islam. Menyedari hakikat ini, maka Jabatan Penyelenggaraan Masjid Ar-Raudhah telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan sebanyak mungkin dana yang di perlukan bagi membina sengkuap dan juga untuk bumbung masjid yang sudah kebocoran dan amat memerlukan kerja-kerja pembetulan itu. Jumlah yang diperlukan dianggarkan berjumlah dalam sekitaran S$500,000.

Untuk pengetahuan semua, sehingga kini kami baru saja dapat mengumpulkan lebih kurang 10% dari jumlah yang diperlukan.Perbelanjaan-perbelanjaan pengurusan masjid ini perlu bagi meningkatkan taraf sesebuah masjid berlandaskan prinsip-prinsip yang di kehendaki oleh hukum syarak.

Ikhwan al-muslimin,

Bagi memudahkan umat Islam menghulurkan derma kepada dana penyelenggaraan masjid ini, maka para penderma bolehlah menyumbangkan dermanya ke dalam peti derma penyelenggaraan masjid yang di sediakan di pintu masuk atau mengirimnya sahaja dalam bentuk cek kepada:
Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah

Bagi menyahut seruan yang mulia ini, maka saya menyeru umat Islam sekalian amnya dan jemaah Masjid Ar-Raudhah khasnya, marilah sama-sama kita menghulurkan sumbangan dengan cara-cara yang telah di sebutkan tadi.

Justeru itu wahai muslimin sekalian, setiap derma yang kita hulurkan itu hendaklah di lakukan dengan hati yang benar-benar ikhlas kepada Allah dan kita mengharapkan semoga derma yang kita sumbangkan untuk kepentingan masjid akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T.

Di akhirat kelak akan mendapat pembalasan yang setimpal. Rasulullah S.A.W. telah memberi ingatan kepada kita semua mengenai pembalasan dan ganjaran yang akan di terima oleh orang-orang yang berusaha ke arah mengimarahkan sesebuah masjid dengan sabdanya :[Barangsiapa membangunkan sesebuah masjid dengan tujuan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah S.W.T., maka Allah S.W.T. akan mendirikan baginya satu binaan yang seumpamanya di dalam syurga]. ( Riwayat Al-Bukhari )

Di dalam kitab Al-Quranulqarim , Allah S.W.T. telah membuat pada bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah sebagaimana firmannya :[Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah S.W.T. dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan].(Surah Al-Bakarah : 265)Rasulullah S.A.W bersabda :[Sedekah itu boleh menolak bala]

Ikhwan Muslimin,

Dengan keterangan-keterangan dari Nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W. sekali lagi saya menyeru umat Islam sekalian, agar sama-samalah kita menyumbangkan derma untuk tabung atau dana penyelenggaraan masjid Ar-Raudhah sebagai sumbangan amal jariah demi kepentingan masjid yang kita kasihi ini.

Di samping itu, janganlah pula hendaknya kita rosakkan pahala amal kita khususnya dalam mengeluarkan derma di dalam dana masjid ini dengan sesuatu perkara atau perbuatan yang di larang oleh Islam seperti suka mengungkit-ungkit atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan sebagainya.

Firman Allah :[Wahai orang-orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkan bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang kafir dan riak itu), mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir].(Surah Al-Bakarah : 264)Firmannya lagi :[Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesetiap yang di kehendakinya, dan Allah amat luas kurniaannya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya].(Surah Al-Bakarah : 261)

Susunan oleh Shafiee Yahya Al Faqir